10 akhir Ramadan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh
dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah
merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan
Ramadan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat
antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah
dan hadis Rasulullah s.a.w.
Tidak perlu ada kesangsian tentang ujudnya Lailatul Qadar kerana firman Allah di dalam surah Al-Qdar yang maksudnya: “Sesungguhnya
kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang
menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih
baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun
dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini
sejahtera hingga terbit fajar”.
Diriwayatkan oleh Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah
menyebut tentang 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah
selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para
sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Lalu Jibril datang
memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah w.s.t. menurunkan yang lebih
baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril
berkata kepada Rasulullah anugerah Allah ini adalah lebih baik daripada
apa yang engkau kagumkan dan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para
sahabat amat gembira.
Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan
orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam
menyamai beramal 1000 bulan.
Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat
baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama
beribadah. Kata Aisyah r.a. maksudnya: “Nabi s.a.w. apabila masuk 10
akhir bulan Ramadan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan
beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah.
Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah.”
Kelebihan Menghayati Malam Lailatulqadar
Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya
umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan
pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis
yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Maksudnya: “Barangsiapa
menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan
berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan
rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.
Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati
malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan
dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk
menyambut malam Lailatulqadar yang mulia. Ini diterangkan di dalam satu
hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya: Maksudnya: “Biasanya
Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan
amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan berbanding
dengan masa yang lain.”
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui
malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang
akhir daripada bulan Ramadan
Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27
& 29 dari bulan Ramadan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis
yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam
zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada
malam 23 Ramadan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda
Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya
mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya.
Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadan.
Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan
bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun
yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadan.
Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap
dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10
malam yang akhir daripada Ramadan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara
itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat
yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di
dunia mahupun di akhirat.
Antara doa yang dianjurkan oleh Nabi SAW ketika berjumpa tanda Lailatul Qadar
عن أم المؤمنين عائشة رضي الله
عنها أنها سألت النبي صلى الله عليه وسلم : يا رسول الله أرأيتَ إن علمتُ
أي ليلةٍ ليلة القدر ما أقول فيها ؟ قال قولي : اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ
كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
رواه الترمذي وقال هذا حديث حسن صحيح.
رواه الترمذي وقال هذا حديث حسن صحيح.
Diberitahu bahawa Sayyidatina Aisyah rha
pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w bahawa seandainya dia memperoleh
(tanda-tanda) Lailatul Qadar maka apakah suatu ucapan yang patut
dibacakan maka baginda menjawab dengan suatu doa yang menyeluruh.
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّيMaksudnya : Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia sangat suka kepada kemaafan maka maafkanlah daripada kesalahanku
Rujukan : http://www.al-bakriah.com.my
No comments:
Post a Comment